Betapa beruntungnya kita lahir sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W

Assalamualaikum semua. Sempena hari Maulidur Rasul, marilah kita banyak berselawat kepada junjungan besar nabi, kekasih Allah yang sangat dimuliakan.

Sementara ilmu dan maklumat yang saya dengar sepanjang di bumi Madinah al-Munawarah dan Mekah al-Mukaramah masih lagi segar dalam ingatan saya, ingin saya berkongsi di sini. Semoga menjadi maklumat yang berguna kepada semua yang membaca. Bukan bermaksud sekali pergi menunaikan umrah, ilmu saya dah banyak. Sila bersangka yang baik-baik ya. Tapi entry ini hanya sekadar perkongsian, ilmu-ilmu yang menginsafkan saya dan dengan rendah hatinya saya terasa sangat kekurangan diri ini, kerana betapa lekanya dengan hal keduniaan sebelum ini.

Ok, kembali kepada tajuk yang sepatutnya. Betapa beruntungnya kita dilahirkan sebagai umat akhir zaman, iaitu umat kepada Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada semua nabi yang Allah utuskan untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar iaitu hanya beriman kepada Allah. Terima kasih kepada Ustaz Hatta, Ustaz farhan, Ustaz (berasal dari Indonesia yang saya lupa namanya) dan juga para mutawif lain yang berkongsi kisah ini kepada para jemaah. Sungguh menginsafkan.

Kitalah umat yang akan mula-mula sekali dipanggil masuk ke syurga, mendahului umat pada zaman Nabi Allah yang lain, termasuklah Nabi-Nabi Allah yang lain, contohnya Nabi Yusuf, Nabi Ibrahim dan nabi lain-lain. Kita dahulu yang bakal dipanggil masuk ke syurga, bukankan sangat beruntungnya kita? Syurga Allah pastinya tempat yang paling menggembirakan, membahagiakan dan semua yang baik ada di syurga.

1. Maklumat tadi, sebelum ni saya dah tahu dan rasanya korang pun tahu. Tapi apa yang saya baru tahu ialah, Nabi-Nabi Allah yang lain pernah meminta dan merayu kepada Allah dengan sesungguh hati untuk diturunkan darjat mereka sebagai Nabi Allah dan sebaliknya Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa meminta mereka dilahirkan semula sebagai umat kepada Nabi Muhammad S.A.W, iaitu nabi yang sangat kita kasihi. Ini kerana para nabi tersebut telah mengetahui umat akhir zaman ialah umat yang paling beruntung kerana mendapat syafaat daripada Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W. Bayangkanla ya, itu Nabi Allah yang sememangnya dijamin masuk ke syurga pun  meminta dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W.

2. Salah satu bukti Nabi Ibrahim meminta dilahirkan sebagai umat kepada Nabi Muhammad S.A.W. ialah kerana baginda nabi telah berkali-kali meminta merayu kepada Allah untuk diterima permintaan baginda, Allah akhirnya telah memperkenankan sebahagiannya dengan membenarkan nama Nabi Allah Ibrahim disebutkan oleh kita, umat Nabi Muhammad S.A.W di dalam bacaan tahiyat akhir kita pada setiap kali solat.





3. Ramai yang tahu tempat ini, Jabal Rahmah sebagai tempat pertemuan Nabi Adam dengan isterinya Hawa yang telah terpisah banyak tahun apabila telah diturunkan oleh Allah dari syurga ke bumi kerana dihukum disebabkan melanggar larangan Allah. Info yang baru saya tahu ialah, pertemuan Nabi Adam dan Hawa di Jabal Rahman ini ialah selepas Nabi Adam bertaubat dengan sesungguh hati dan merayu kepada Allah untuk dimaafkan kesalahannya selama berpuluh tahun dan Nabi Adam meminta ampun akhir sekali dengan meminta Allah mengampunkannya dengan syafaat yang ada pada Muhammad(Nabi Muhammad S.A.W). Menurut ustaz yang bercerita semasa tu, walaupun Nabi Adam ialah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah, namun Nabi Adam memberitahu Allah pada masa tersebut(semasa baginda meminta ampun di atas dosanya), baginda telah melihat nama Nabi Muhammad telah ditulis di setiap pintu dan dinding di syurga Allah. Walaupun Nabi Adam tidak mengetahui siapa Muhammad tersebut, namun baginda yakin bahawa Muhammad tersebut pastilah serang insan yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah S.W.T.  Perasaan saya semasa mendengar kisah ini, tersangatlah terharu. Basah telekung sambil mendengarnya. Betapa hebatnya dan juga mulianya Nabi Muhammad S.A.W. Ustaz yang berceritanya pula sangat pandai mengolah kisah, sehingga sangat terkesan di hati ini. Sejuk hati ibu ustaz ini, insya Allah.

Untungnya kita sebagai umat Nabi Muhammad ini ialah kerana baginda Nabi telah menyampaikan ajaran Islam yang lengkap. Jadi, kalau kita amalkan dengan baik pastilah kita layak memasuki syurga Allah sebagaimana yang telah Allah janjikan. Jadi, kita perlu berubah ke arah kebaikan. Saya bukan ustazah untuk bercakap banyak pasal ini, namun, sekadar perkongsian. Perubahan yang baik kita hanya kita dan Allah saja yang tahu, insyaAllah pasti ikhlas itu menjadikan kita insan yang lebih baik. Kisah ini juga dikongsikan kerana biasanya kalau menziarahi orang yang balik dari umrah atau haji, soalan yang biasa ditanyakan ialah sama ada sihat atau tidak,  cuaca di Mekah Madinah, atau dapat tak cium hajar aswad? Kisah sebegini saya tak tanya dan tak diceritakan kepada saya. Inilah kejahilan saya sebenarnya. 

Gambar di atas ialah salah satu barang yang sempat saya beli semasa di Mekah. Kebetulan Kak ja kirim, jadi saya belikan juga sehelai untuk disimpan di rumah sendiri. Kain tutup mayat ni, 7 kaki panjang, disediakan untuk mengingati kita bakal mati, namun belum pasti kita yang bakal menggunakannya bila sampai saatnya nanti. 
Moga matinya kita nanti dalam keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Merasa bersolat Jumaat di Masjid Nabawi. Masjid yang di mana setiap selawat nabi yang kita ucapkan akan dijawab sendiri oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. Ya Allah memang begitu besar sekali kurniaan-Mu. Banyak sekali ilmu yang menginsafkan yang telah saya belajar sepanjang 10 hari itu. 

Di bumi Munawwarah ni, dimuliakan oleh Allah kerana di sinilah jasad Nabi Muhammad disemadikan. Betapa jahilnya saya, sebelum tiba di Madinah ni, banyak dengar kata-kata orang dan saya sendiri mempercayai yang di Madinah kita dapat lapang sikit berbanding ketika berada di Mekah kerana tiada aktiviti yang dianggap wajib di Madinah selain ke masjid lima waktu sehari, berbanding masa berada di Mekah yang banyak perkara wajib yang perlu dibuat. Maha Suci Allah, alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah kerana membenarkan hati dan jiwa saya menerima kesedaran sebelum terlewat. Sepatutnya ziarah ke bumi Munawarrah ini disertai dengan kegembiraan, amal selawat yang berterusan dan ingatan yang sebaik-baiknya kepada baginda Rasulullah. Terharu lagi bila ustaz memaklumkan bahawa betapa sayang dan cintanya Imam Malik kepada Rasulullah, beliau akan menanggalkan capalnya jika berada di bumi Madinah, kerana beliau tidak sanggup memakai capal di bumi yang mana tersimpannya jasad Rasulullah. Ada juga Imam( yang saya lupa siapa namanya) yang juga memuliakan bumi Madinah kerana sayang dan cinta kepada Rasulullah dengan tidak sanggup membuang air di bumi Madinah, beliau sanggup keluar ke kawasan halal setiap kali ingin membuang air. 
Bayangkanla kawan-kawan, kita pula bagaimana amalannya? Sekali lagi saya tegaskan, saya tak layak nak menulis banyak di sini kerana saya bukan orang yang pandai agama. Kejahilan saya pastilah sangat banyak dan tak terhitung. Namun, sila bersangka baik dan bacalah entry ni dengan hati yang terbuka.

Nampaknya, setakat ini dapat saya tulis, terasa banyak yang ingin dibuat untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Semoga entry ini juga bakal memberikan sedikit kesedaran kepada korang yang membaca.

Comments

  1. bergetar hati membacanya walaupun berkali-kali dengar dan baca kisah ini.. ustaz yg bg ceramah dekat opis akak pun ada cerita tentang hal ini.

    Alhamdulillah aisy sudi berkongsi lagi dihari yg mulia ini..terima kasih seronok akak membacanya

    ReplyDelete
  2. bergetar hati membacanya... terima kasih sudi berkongsi

    ReplyDelete
  3. aduh mengalir air mata baca entey ni AN..terutama bila tiba tentang kisah nabi Adam yg minta ampun atas syafaat Rasulullah..dan nama Muhammad pada dinding syurga tu betul2 terkesan dihati..

    terima kasih byk berkongsi kisah menarik yg selama ini nyk kita tak pernah ambil tahu tentang mulianya kita sebagai umat Muhammad..

    ReplyDelete
  4. mohon ambil isi penting utk simpan AN dan mungkin juga utk sy panjangkan lg kisah ni pada saudara mara dan teman2

    ReplyDelete
  5. Tahniah Aisy... telah bergelar "hajah kecil" (panggilan utk yg pernah mengerjakan umrah).

    U don't have to feel guilty membuat penulisan ini.. even kita bukan ustazah, tp tiap kita boleh berdakwah dgn cara tersendiri. I loikee. Tq for de info. Ianya sgt memberi kesan. Moga kita saling ingat mengingati.

    ReplyDelete
  6. Selawat dsn salam buat Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW....

    Salam Maulidur Rasul dan selamat bercuti...

    ReplyDelete
  7. Bestnya baca cerita ni..tq atas perkongsian..nnt cerita la lagi..ooh nama Rasulullah dah ditulis di dinding2 dn pintu2 syurga.Allahhumma solli ala alimuhammad.

    ReplyDelete
  8. Baru nak habis baca..
    Alhamdulillah mak nabilah pun dah selamat sampai petang semalam.
    awal pagi td sampai di kg, kedah.
    Mak pun ckp, tak terucap kegembiraan bila ada di tanah suci Mekah n Madinah..

    Allahuakbar, semoga ada kesempatan ke sana di usia muda dan sihat..

    ReplyDelete
  9. terimakasih diatas perkongsian ini. dlm ceramah ustaz pun ada ceritakan kisah ini.terharu rasanya. in sya Allah ky akan keMekah jan ini..

    ReplyDelete
  10. Terima kasih AN kerana sudi berkongsi ilmu yang diperolehi. Tak terucap dengan ucapan terima kasih sahaja ilmu sebegini walaupun pada hakikatnya mungkin AN nampak tak tinggi mana pun ilmu yang ada.

    Sekadar membaca pun membuatkan saya terasa sayu dalam hati. Sebak tak tahu mengapa. Betapa beruntungnya kita hidup sebagai umat Nabi Muhammad SAW, tapi mengapalah jahat sangat hati ni kerana jarang mensyukuri nikmat yang Allah beri walaupun sekelumit aje kehadirannya dalam hidup kita yang singkat. Memang daif betul kita ni sebagai manusia, selalu merasakan orang lain lebih beruntung bila dibandingkan dari segi duniawi.

    Ilmu walaupun sedikit bila dikongsi, banyak faedahnya, AN ^_^

    ReplyDelete

Post a Comment

KOMEN SEPATUTNYA SESUATU YANG DIFIKIR SESUAI...



Popular posts from this blog

Moga membantu orang yang ada masalah cap jari

Beli dengan foodpanda tapi makanan tak sampai?

Bila rasa pedih luka operate akan hilang?