Pengalaman ada anak speech delay

Assalamualaikum semua.

Saya kembali menulis di sini, catatan pengalaman membesarkan anak, semoga di saat tua nanti kalau terbaca semula kisah ini, dapat diimbas pengalaman yang pernah dilalui dengan anak-anak. Mungkin juga dapat memberi sedikit sebanyak inspirasi kepada ibu bapa lain yang mengalami masalah yang sama.

Pengalaman saya mengajar murid sekolah menengah selama 13 tahun ni, tidak terkecuali terjumpa dengan murid yang ada masalah pembelajaran. Lagi-lagi semasa saya masih bertugas di sesi petang, saya ni setiap tahun 'diberi peluang' mengajar kelas hujung. Jadi sudah pasti sentiasa berhadapan dengan murid yang bermasalah. Pelbagai masalah yang saya pernah jumpa. Walaupun lokasi sekolah saya ni di bandar, namun saya pernah ada anak murid bermasalah yang mempunyai ibu bapa berprofile tinggi. Jadi, saya menganggap masalah anak-anak ini sebagai satu dugaan yang 'ibu bapa  terpilih' ini perlu hadapi. Sebagaimana seorang guru tidak boleh memilih kelas yang ingin diajarnya, seorang ibu bapa juga tidak boleh memilih anak-anak yang dilahirkannya. Itu satu kenyataan yang semua orang tahu namun hakikatnya, jika kita terpilih sebagai ibu bapa yang ada anak bermasalah, berat dugaan kita kena hadapi. Berikutan dengan itu juga, saya juga sering berdoa semoga dengan keikhlasan yang dicurahkan semasa mengajar, saya akan dirahmati dengan anak-anak yang sempurna dan sihat.






Anakanda saya yang sorang ni sememangnya seorang yang 'playful' dan sangat aktif. Saya tak kisah sangat pasal ni sebab ketiga-tiga hero saya sememangnya perangai sama. Si kecik ni tak tidur siang dan malam pun tidurnya sentiasa lewat dan bangun pulak awal. Abang-abangnya pun sama. Cuma bila menjelang usianya tiga tahun saya mula susah hati dengan perkembangan pertuturannya. Saya kembali meneliti video kedua abangnya. Abangnya di usia sebegitu dah cukup banyak cakapnya. Perkataan mereka juga jelas semasa berbual atau menyanyi. Mereka juga petah berkomunikasi dengan orang lain di sekeliling. Malah saya masih ingat lagi video nyanyian anak kedua ni bila dikongsikan dengan ahli keluarga, ada yang menontonnya berkali-kali sambil memuji kepetahan dan kecomelannya. Sebenarnya saya memang tahu, tak patut bagi seseorang ibu menyamakan anak-anaknya, sedangkan saya tahu setiap anak ada perkembangan yang berbeza-beza. Lagi-lagi dengan adanya latar belakang latihan psikologi kanak-kanak ni. Namun, sebagai insan biasa, diri ini tidak terkecuali dengan risau dan membandingan si kecik ni dengan abang-abangnya. Pada masa tu juga(semasa usianya 2 tahun 8 bulan), dia juga nampak kurang memberikan respon kepada arahan saya. Jika moodnya elok dia akan buat, namun jika dia sedang khusyuk melakukan sesuatu yang lain, dia akan abaikan arahan saya atau ahli keluarga yang lain.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, seorang kawan saya mengadu tentang anaknya dengan mood yang sedih. Kisah kawan saya ni, anaknya yang berusia enam tahun diminta merujuk ke klinik kanak-kanak kerana speech delay dan memang diam orangnya. Apa lagi, bila mendengar kisah orang, saya mula panik. Mulalah saya kaitkan dengan anak sendiri walaupun baru tiga tahun usianya. Kemudian, pada konsert tadikanya( semasa usianya 3 tahun 1 bulan), si kecik ni langsung tak buat apa-apa di pentas. Rakan-rakan yang lain sibuk menyanyi sambil bergelek mengikut iringan muzik, anak saya seorang sahaja yang diam sambil membuat muka sedih di atas pentas. Pada hari tersebut, bukan saya je, malah suami pun agak sentap dan terperanjat dengan 'persembahan' anak kami. Lantas setelah membuat perbincangan yang serius dengan suami, kami memutuskan untuk membawa si kecik ni ke hospital. 


Kami terus membawa si kecik ni ke Speech and Hearing Centre di Sunway Medical Centre. Semasa perjumpaan pertama, (usia 3 tahun 1 bulan) si kecik ni diuji dengan beberapa set ujian dan alat permainan. Aktivitinya sememangnya menarik dan anak pun nampak gembira melakukan ujian tersebut. Doktor perempuan tersebut sememangnya nampak sangat mahir. Semasa aktiviti dilakukan, doktor membuat semakan dan memantau respons yang ditunjukkan. Doktor juga menyoal saya dengan pelbagai soalan tentang ativiti anak di rumah serta mencadangkan aktiviti yang boleh merangsang anak supaya aktif bercakap. Setelah melakukan aktiviti dengan doktor selama hampir sejam, doktor memberikan rumusan anak saya ni mengalami speech delay selama 7 bulan dan dari segi respons dia delay selama lima bulan. Menurut doktor pada ketika itu masih tidak dapat ditentukan anak saya ni mengalami speech delay atau hanya memerlukan pantauan dan lebih perhatian. Kami diminta datang lagi untuk perjumpaan seterusnya.

Antara aktiviti yang dibuat bersama dengan doktor semasa perjumpaan kali pertama. 


Kami membawa anak ke perjumpaan kedua dengan doktor setelah hampir dua bulan kemudian kerana kekangan masa. Sepatutnya kami datang untuk perjumpaan kedua pada dua minggu berikutnya. Namun, semasa perjumpaan kedua ni, anak kami menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Semasa di rumah, kami banyak mengikut senarai semak yang diberikan oleh doktor di Sunway Medical Centre. Kebetulan juga bila cuti sekolah November dan Disember saya tidak bekerja dan saya banyak mengabiskan masa dengan si kecik ni, memang ketara perkembangan bahasanya. Sampaikan doktor juga memuji perkembangannya yang semakin baik. Alhamdulillah semasa perjumpaan kali kedua ni doktor membuat kesimpulan anak kami tidak bermasalah yang serius. Tahap speech delaynya sikit sahaja dan si kecik ni sangat alert dengan persekitaran serta menunjukkan tindak balas yang sesuai sama ada dalam bentuk verbal atau body language. Kami diminta terus mengurangkan penggunaan gadjet, membanyakkan interaksi dan aktiviti dengannya serta memberi peluang si kecik ini untuk menuturkan ideanya. Beberapa tips lagi diberikan oleh doktor sebelum kami balik. 

Kini, di usianya 3 tahun 9 bulan, banyak betul bebelannya. Berkat dari PKP, seluruh keluarga sentiasa berada di rumah, banyak masa dihabiskan bersama-sama. Secara tak langsung cepat sungguh perkembangan bahasa budak kecil ni sekarang, lega sangat saya . Jika dia nampak apa-apa yang dia suka, pasti akan diulasnya sampai berulang kali. Kalau menyanyi tu, pasti riuh satu rumah sebab suaranya sangat kuat walaupun ada perkataan yang disebutnya kedengaran pelat. Alhamdulllah, dengan masa yang banyak diluangkan oleh seluruh keluarga semasa tempoh PKP, semakin banyak perbendaharaan katanya. Pelatnya untuk sesetengah perkataan tu menjadi hiburan buat semua. Neneknya di kampung juga selalu minta saya hantarkan video si kecil ni. Suka sangat mak saya melihat telatah harian si kecik ni. Namun awas, kalau dia nak cakap sesuatu tapi orang berdekatan tak beri perhatian, dia akan tarik rambut orang tu. Memang garang sikit orangnya si kecil ni. Masa yang Allah aturkan untuk kami sangat tepat dan alhamdulillah si kecik kami sekarang ialah anak yang sangat banyak percakapannya.  Ayat yang paling membahagikan saya sekarang ialah " Sayang mama banyak-banyak" keluar dari mulut kecilnya tu setiap kali dia memujuk saya membuat susu. Kadang kala saya memang sengaja lambat membancuh susu agar si kecik ni datang dan memujuk saya. 

Sebelum saya menamatkan entry ini, saya ingin menasihatkan ibu bapa agar lebih memberi tumpuan kepada anak yang masih kecil agar perkembangannya seiring dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Kerja dan duit mungkin penting namun masa tidak dapat dibeli dengan semua itu. Saya juga seperti ibu bapa yang lain, balik dari kerja suka memberikan gadjet kepada supaya dapat berehat, melakukan kerja rumah dan menyambung kerja. Kami bukanlah bagus sangat untuk kawal anak tanpa gadjet, bahkan anak-anak kami yang bertiga ni memang ada gadjet setiap satu. Salah di pihak kami, memang diakui. Namun, Allah sebaik baik perancang. Sekiranya ada ibu bapa yang rasa terganggu dengan masalah anaknya, semoga entry ini memberikan sedikit petunjuk kepada anda. Sebelum saya terlupa, kos setiap kali perjumpaan dengan doktor speech therapy di Sunway Med ialah hampir RM300. Jangan malu nak dapatkan rawatan untuk masalah anak ya. Juga jangan ingat benda ni biasa je, nanti akan normal, tidak!!! Zaman sekarang ni kita kena usaha bawa anak ke hospital. Doa yang baik-baik dan lakukan yang terbaik. 









Comments

  1. Tetiba teringat adik ipar masa dia kecik (MIL la yg cerita), pun lambat bercakap.. now dah jadi doktor. Alhamdulillah..
    Eh!. Rasa mcm saya pernah bagitau Aisy. Ke dejavu?.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya ke ada bgtau? tak ingat pulak saya kisah tu. haha, biasalah kan kalau tak terkena batng hidung sendiri tak ambil tahu sangat pun . bila ada kes dan risau barulah mula cari info sana sini.

      Delete
  2. Sob... Sob.. Waa sungguh berinsipirasi dan menyayat hati entry kali ini. Semoga semuanya kesusahan dan kesulitan akan menjadi kebahagian buat aisy. Insyaallah adik nazmi yang kacak akan menjadi seorang yang bijak dan sihat apabila menjangkau dewasa kelak.

    ReplyDelete
  3. Suspen jugak kan AN.... Kalau hakak, nak bawak pi check pun tak de kekuatan, mcm takut nak menghadapi kenyataan...
    Tapi alhamdulillahlah... dah lega sekarang. Sebenarnya tak de pape pun kan.
    Itulah tu, kenyataan tu tak semuanya pahit kan sebenarnya

    ReplyDelete

Post a Comment

KOMEN SEPATUTNYA SESUATU YANG DIFIKIR SESUAI...



Popular posts from this blog

Moga membantu orang yang ada masalah cap jari

Beli dengan foodpanda tapi makanan tak sampai?

Bila rasa pedih luka operate akan hilang?